Gambar kiri - JAcob Blake sebelum ditembak oleh polis. foto Agensi

WISCONSIN – Lelaki kulit hitam yang tembak oleh polis memerlukan keajaiban untuk berjalan semula.

Jacob Blake, 29, ditembak sekurang-kurangnya tujuh kali ketika sedang membuka pintu kereta.

Sekurang-kurangnya satu peluru menembusi saraf tunjangnya, kata peguam.

Insiden itu mencetuskan protes ganas hingga memaksa Gabenor Wisconsin meminta lebih ramai anggota Pengawal Nasional ke Kenosha.

Akibat tembakan itu, sebahagian atau keseluruhan saraf tunjang Blake mengalami kecederaan teruk.

Blake kini dikatakan lumpuh dengan para doktor tidak pasti jika dia boleh menggunakan kakinya semula.

”Keluarganya mempercayai keajaiban, tetapi diagnosis perubatan sekarang menyatakan dia lumpuh kerana peluru tersebut mendatangkan kecederaan pada hkan saraf tunjangnya dan menghancurkan beberapa tulang belakangnya. Hanya keajaiban yang membolehkan Jacob Blake Jr dapat berjalan lagi, “peguam Ben Crump pada sidang media.

Mangsa yang berusia 29 tahun ditembak ketika anak-anaknya masih menjerit di dalam kereta.

Tembakan tersebut turut menyebabkan berlubang di perutnya, kecederaan di lengan dan kerosakan pada buah pinggang dan hati. Sebilangan besar usus besar dan usus kecilnya harus dikeluarkan, kata peguamnya kepada wartawan.

Ibunya, Julia Jackson berkata, anak beliau sedang bertarung untuk hidup.

Tetapi, katanya, jika Blake mengetahui tentang protes yang tercetus sudah tentu dia tidak gembira.

Protes terhadap insiden yang menimpa Blake telah bertukar menjadi ganas apabila bangunan dan kenderaan dirosakkan.

Pengawal Nasional terpaksa dipanggil untuk melindungi bangunan-bangunan di negeri itu dan membantu polis dan bomba yang berdepan dengan kumpulan protes.

Malah perintah berkurung dikuatkuasakan pada waktu malam. – MalaysiaGazette