NEW YORK – Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, badan itu “tidak berada dalam posisi untuk mengambil tindakan lebih lanjut” berhubung cadangan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan semua sekatan ke atas Iran kerana tidak ada konsensus daripada 15 ahlinya.

Ini kerana seramai 13 anggota itu menyatakan penentangan mereka pada hari Jumaat dengan alasan tindakan Washington adalah tidak sah.

Alasannya, Iran dan AS telah bersepakat melakukan perjanjian nuklear 2015 tetapi kuasa dunia itu yang menariknya semula dua tahun lalu.

Wakil Indonesia di PBB, Dian Triansyah Djani yang menjadi presiden majlis itu untuk bulan Ogos membuat kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan dari Rusia dan China mengenai isu itu dalam pertemuan di Timur Tengah.

Namun, Duta Besar AS, Kelly Craft menempelak kenyataan Djani.

“Izinkan saya menerangkan dengan lebihjelas: pentadbiran Trump tidak takut untuk berdiri dalam sokongan terhad dalam isu ini. Saya hanya menyesal kerana anggota dewan ini telah tersesat dan kini mendapati diri mereka berada dalam kumpulan pengganas.”

Setiausaha Negara A.S. Mike Pompeo mengatakan beliau mencetuskan proses 30 hari untuk melaksanakan semula semua sekatan antarabangsa ke atas Iran dengan mengajukan aduan kepada majlis itu dengan menuduh Iran telah melanggar perjanjian nuklear 2015.

Duta Besar PBB Rusia,Vassily Nebenzia berharap AS akan menghentikan usahanya untuk melaksanakan semua sekatan ke atas Iran yang didakwanya ”bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi tidak akan membawa kepada pencapaian hasil yang dibayangkan oleh Amerika Syarikat.”

Di Twitter, Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif mengatakan “undang-undang membuli oleh Pompeo menyebabkan AS terasing lagi”. – MalaysiaGazette