KUALA LUMPUR – Bekas pengurus kanan kewangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini harı ini, atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM6,000 daripada seorang kontraktor bagi mempercepatkan proses pembayaran kontrak penghantaran baja dari Gudang NAFAS.

Muhammad Saiful Iskandar Kassim, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa telah secara rasuah memperoleh bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai masing-masing RM2,000 daripada Mohd Nazim Ariff Nazir Ariff melalui pindahan wang secara elektronik ke dalam akaun bank Maybank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses bayaran bagi kontrak menyediakan tenaga kerja, peralatan serta bahan bagi menjalankan kerja-kerja menghantar baja dari gudang NAFAS di NPK Fertelizer Sdn Bhd, Kedah dan Agro-Tech NPK (M) Sdn Bhd, Sabah ke gudang NAFAS di Sabah dan Sarawak tahun 2015 untuk kegunaan NAFAS.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Dataran Maybank, Level 1, Tower A, Dataran Maybank, No.1 Jalan Maarof di sini antara 10 Dis 2015 dan 26 Feb 2016.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sehingga kes selesai serta pasport diserahkan kepada mahkamah kerana melibatkan pertuduhan serius.

Bagaimanapun, Muhammad Saiful Iskandar yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan minimum dengan alasan dia menanggung keluarga serta sembilan anak yang masih kecil dan bersekolah.

Selain itu, beliau telah diturunkan jawatan sebagai pengurus koperasi di NAFAS dengan pendapatan RM5,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan mulai September ini.

Hakim Azura menetapkan 25 September untuk sebutan kes itu. – Bernama