Phil Hogan. foto Agensi

DUBLIN – Phil Hogan melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Kesatuan Eropah (EU) pada hari Rabu akibat mengalami tekanan atas tuduhan melanggar garis panduan Covid-19 semasa perjalanan ke negara asalnya di Ireland.

Melepaskan jawatan secara terpaksa daripada jawatan eksekutif blok itu akan menjadi tamparan kredibiliti untuk pasukan yang diketuai oleh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen yang kurang daripada satu tahun.

Suruhanjaya akan memainkan peranan penting dalam mendorong dana pemulihan 750 bilion euro untuk ekonomi EU yang dipengaruhi oleh krisis koronavirus dan Hogan sendiri telah membuat kemajuan dalam perbincangan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

”Kontroversi lawatan saya ke Ireland baru-baru ini semakin jelas dan memberi gangguan kepada saya sebagai Pesuruhjaya EU dan akan menjejaskan pekerjaan saya pada bulan-bulan akan datang.

“Saya sangat menyesal kerana perjalanan saya ke Ireland – negara yang saya banggakan sebagai penjawat awam menimbulkan kebimbangan dan rasa kurang senang,” kata Hogan dalam satu kenyataan.

Hogan menghadiri makan malam golf minggu lalu, sekaligus menimbulkan kemarahan masyarakat Ireland meskipun beliau menegaskan telah mematuhi semua peraturan semasa perjalanan tersebut.

Masa depan Hogan semakin pudar, hanya beberapa minggu yang lalu, beliau mempertimbangkan untuk menjadi Ketua Pengarah Organisasi Perdagangan Dunia.

Pesuruhjaya, yang mengawasi dasar perdagangan untuk blok perdagangan terbesar di dunia, meminta maaf tiga kali kerana menghadiri acara itu bersama 80 orang yang lain.

Sebelum ini, dua ahli politik kanan di Ireland telah meletak jawatan selepas melanggar perintah larangan Covid-19 dengan menghadiri jamuan ulang tahun ke-50 persatuan golf Parlimen negara itu.

Menteri Pertanian, Dara Calleary dan Timbalan Speaker Parlimen, Jerry Buttimer, meletak jawatan selepas perbuatan mereka menghadiri majlis di hotel County Galway Rabu lalu itu dikritik orang ramai.

Akhbar Irish Examiner melaporkan, 82 orang menghadiri acara itu termasuk ahli Parlimen dan hakim Mahkamah Agung.

Hogan terus mendapat tekanan selepas gagal melakukan kuarantin selama 14 hari sebagai pelancong yang memasuki Ireland.

Hogan diminta oleh von der Leyen untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai perjalanannya selama 20 hari, yang merangkumi tiga lawatan ke daerah Kildare, untuk mengumpulkan dokumen perdagangan penting.

Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin dan timbalannya Leo Varadkar, pemimpin parti Fine Gael yang pernah Hogan berkhidmat sebagai menteri, mengatakan pesuruhjaya EU itu jelas melanggar garis panduan kesihatan awam Covid-19.

Martin dan Varadkar memaklumkan Hogan telah mengambil tindakan yang betul dengan melepaskan jawatannya. – MalaysiaGazette