Gambar hiasan

ISU yang melibatkan sistem pendidikan negara perlu dibincang dengan cara yang baik dan profesional oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan institusi pendidikan negara. Isu yang melibatkan sistem pendidikan negara tidak sesuai dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh mengundang persepsi negatif dari orang ramai. Ia juga sedikit sebanyak mengganggu tumpuan para pelajar dan guru kita di sekolah- sekolah. Jika ia terus dipolitikkan nescaya tiada penyelesaian muktamad dapat dicari bagi menyelesaikan sebarang isu yang dibangkitkan. Perlu diketahui, sistem pendidikan di Malaysia diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sistem pendidikan negara kita terdiri daripada sekolah tanggungan kerajaan, sekolah swasta atau secara sendiri. Sistem pendidikan dalam negara kita dipusatkan terutamanya bagi sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan negeri tidak berkuasa dalam kurikulum dan aspek lain pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah, sebaliknya ditentukan oleh pihak kementerian. Walaupun begitu, setiap negeri memiliki Jabatan Pendidikan bagi memantau perjalanan proses pendidikan di negeri masing-masing.

Sistem pendidikan negara kita dikawal selia di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]. Sistem pendidikan negara kita terdiri daripada beberapa peringkat iaitu peringkat prasekolah, peringkat pendidikan rendah, peringkat pendidikan menengah dan peringkat pengajian tinggi. Selain daripada, terdapat juga sekolah persendirian yang ditubuhkan oleh individu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi swasta. Terdapat juga sekolah vernakular dalam sistem pendidikan negara kita. Sekolah vernakular adalah sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sesuatu kaum atau menggunakan bukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran dan didalam sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan. Pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai sistem pendidikan negara kita buat sekian lama terutamanya mengenai kewujudan sekolah vernakular yang dikatakan tidak sesuai lagi untuk diwujudkan dalam negara kita. Apa-apa isu yang ingin dibangkitkan berkaitan dengan sistem pendidikan negara kita hendaklah dibincangkan secara profesional oleh pihak-pihak yang betul-betul memahami sistem dan sejarah pendidikan dalam negara kita.

Isu yang melibatkan sistem pendidikan negara ini tidak sesuai untuk dibincangkan dikalangan ahli-ahli atau parti politik kerana salah anggap boleh muncul terutamanya dari kalangan orang ramai. Sistem pendidikan merupakan institusi paling penting dalam sesebuah negara. Sistem pendidikan memainkan peranan penting bagi melahirkan insan yang dapat menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara. Setiap manusia perlu diberi pendidikan yang sempurna supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus kemajuan negara dan dunia. Oleh yang demikian, adalah penting supaya sebarang isu yang melibatkan sistem pendidikan negara dibincangkan dengan baik supaya satu jalan penyelesaian dapat dicari bagi menambah baik sebarang kekurangan ataupun kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara kita pada ketika kini. Sebarang penyelesaian terhadap isu yang melibatkan sistem pendidikan negara kita perlu memberi keutamaan terhadap para pelajar. Para pelajar kita yang kini sedang belajar di sekolah- sekolah dan di universiti serta tenaga pengajar mereka tidak perlu diganggu dengan pelbagai isu semasa yang melibatkan sistem pendidikan negara kita.

Pihak kerajaan serta semua pihak yang terlibat dengan perkara ini boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji segala perkara berbangkit berkaitan dengan sistem pendidikan negara kita. Penyertaan jawatankuasa khas perlu dihadkan kepada golongan profesional dan pakar dalam bidang pendidikan serta mereka yang memiliki pengalaman yang mendalam dalam sistem pendidikan negara kita seperti golongan akademik serta pengajar. Kebebasan sepenuhnya perlu diberikan kepada semua ahli jawatankuasa ini untuk membincangkan sebarang isu berbangkit dengan sistem pendidikan negara kita. Hasil perbincangan jawatankuasa khas ini kelak boleh diberikan kepada pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kalangan wakil politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk dibincang dengan lebih lanjut. Proses perbincangan peringkat jawatankuasa, pihak kerajaan dan semua pihak yang berkepentingan ini perlu  dilakukan pada setiap masa sehingga satu titik penyelesaian muktamad dapat dicari bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit berkaitan dengan sistem pendidikan dalam negara kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)