Lionel Messi

MANCHESTER – Manchester City bersedia untuk menawarkan Barcelon89.5 juta untuk membawa masuk superstar dunia, Lionel Messi kali ini.

Malah, turut difahamkan bahawa Pep Guardiola juga sanggup melepaskan tiga pemain utama pasukan, Bernardo Silva, Gabriel Jesus dan Eric Garcia untuk bintang Argentina berusia 33 tahun itu berhijrah ke Stadium Etihad.

City optimis boleh mencapai perjanjian dengan skuad the Catalans selepas Messi mengumumkan hasrat mahu meninggalkan Nou Camp serta-merta.

Andai kata Messi bersetuju dengan terma perjanjian menyertai City, dia akan bersatu semula dengan bekas jurulatihnya, Guardiola ekoran karier cemerlang di Nou Camp sebelum ini.

Namun Guardiola memilih untuk tidak membincangkan spekulasi mengaitkan Messi yang tular di media sosial.

Katanya, Messi masih merupakan pemain Barcelona dan dia akan kekal di sana.

“Pelbagai spekulasi tular dalam media sosial mengaitkan Man City dengan Messi.

“Saya tidak fikir dia (Messi) akan tinggalkan Nou Camp dalam masa terdekat ini.

“Dia adalah pemain Barcelona dan masa depan dia adalah masih bersama Nou Camp dan adalah tidak baik untuk saya mengulas mengenai pemain kelab lain,” katanya.

Messi sepanjang karier bersama Barcelona berjaya menjaringkan 634 gol dalam 731 penampilan.

Laporan mendakwa Messi dan Guardiola telah berbual menerusi telefon mengenai rancangan berhijrah ke City termasuk budaya pembelajaran bahasa Inggeris selepas hampir 20 tahun pemain itu bermastautin di Sepanyol.

Idea City menandatangani Messi umpama mimpi namun tawaran tunai yang lumayan disertai tiga pemain sebagai tawaran tambahan menjadikan minat kelab England terhadap pemain itu bakal menjadi realiti.

Justeru, Barcelona juga dikatakan berminat membawa Jesus ke Nou Camp menggantikan Luis Suarez namun harga £20.5 juta menjadi penghalang kepada Barcelona memuktamadkan perjanjian itu. – MalaysiaGazette