Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifli Yahya menyerahkan goodies menasihatkan pemandu supaya memandu berhati-hati sempena cuti panjang sehingga Isnin ini Kempen Keselamatan Jalan Raya musim sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2020.

KUALA LUMPUR – “Kalau kamu minum alkohol, jangan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk dan membahayakan pengguna jalan raya lain..pilih penyelesaian alternatif pengangkutan awam untuk meneruskan perjalanan anda secara selamat termasuk keselamatan pengguna lain.”

Itu nasihat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya sempena cuti empat hari bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos ini.

Menurutnya, cuti empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan akan dimanfaatkan warga kota untuk balik kampung dan aliran keluar kenderaan kali ini dijangka lebih sejuta sepanjang tempoh itu.

“Kita nasihatkan mereka yang merancang balik kampung untuk empat hari ini sehingga Isnin (Hari Kebangsaan), memandulah secara berhati-hati dan berhemah di atas jalan.

“Mereka yang minum dan mabuk, jangan memandu, sebaliknya pilih alternatif pengangkutan awam untuk perjalanan selamat bagi mengelak pengguna tidak berdosa menjadi mangsa kecuaian anda di atas jalan,” katanya pada sidang media di Tol Jalan Duta hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan beg cenderamata dan menasihati pemandu supaya berhemah di jalan raya semasa balik kampung.

Tambah Zulkifli, sepanjang cuti empat hari sehingga Isnin ini, polis juga akan memperhebatkan lagi sekatan jalan Op Mabuk di pusat bandar dan juga kawasan di bawah penguatkuasaan pihaknya.

Ia bertujuan untuk mengelak pemandu cuai serta pengguna jalan yang mabuk di atas jalan raya ekoran sytatistik seramai 741 orang ditahan atas kesalahan mabuk sehingga Julai ini iaitu dengan purata 100 orang sebulan.

Menurutnya, Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-Undang memaksimumkan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk yang mendatangkan kemalangan maut dan kita akan tunggu ia diwartakan sebagai undang-undang untuk dikuatkuasakan supaya dapat bertindak ke atas pemandu mabuk secara lebih tegas nanti.

“Sepertimana sekatan jalan sebelum ini, Op Mabuk akan diteruskan dan diperhebatkan kali ini termasuk enam kesalahan utama khususnya penggunaan telefon bimbit semasa memandu akan diberi keutamaan serius sepanjang empat hari ini.

“Menggunakan telefon bimbit semasa memandu kini diklasifikasikan sebagai kesalahan tidak berkompaun (didakwa di mahkamah) dan oleh demikian ia akan diperhatikan secara serius semasa operasi penguatkuasaan trafik selama empat hari ini.

“Ada kebanyakan pemandu memberi alasan mereka sebenarnya menggunakan waze tapi kami akan terus menguatkuasakan undang-undang kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu walau apa jua alasan pun.

“Kalau mereka didapati pegang telefon semasa memandu akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.