Semua 10 pasukan yang akan bersaing musim ini akan memakai jersi tajaan dan rekaan daripada jenama sukan terkenal Li-Ning sebagai penaja pakaian rasmi STL 2020.

KUALA LUMPUR – Sepak Takraw League (STL 2020) hari ini memperkenalkan jersi baharu musim 2020.

Semua 10 pasukan yang akan bersaing musim ini akan memakai jersi tajaan dan rekaan daripada jenama sukan terkenal Li-Ning sebagai penaja pakaian rasmi STL 2020.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, pihaknya teruja dengan komitmen berterusan Li-Ning kepada STL.

“Sokongan mereka bukan hanya sekadar menjadi rakan penaja tetapi telah bersama-sama membantu dalam pembangunan dan kemajuan sepaktakraw negara,” katanya ketika ditemui selepas perasmian jersi baharu itu di sini hari ini.

Menurut Choong Khay, dengan rekaan baharu jersi itu diharap semua peminat akan terus menyokong pasukan pihan mereka dalam STL nanti.

Pengurus Penjenamaan Li-Ning, Teah Yann Ling pula berkata, selepas melihat potensi yang ada di STL mereka yakin untuk meneruskan lagi komitmen selepas tajaan pertama pada 2019 lalu.

“Kami melihat sukan sepak takraw sebagai sukan yang unik dan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat. Suntikan STL juga telah menghangatkan lagi pengaruh sukan ini serta mempunyai potensi cerah menjadi permainan yang diminati ramai di seluruh dunia.

“Sukan yang penuh gaya seperti ini harus diberi peluang dan kesempatan untuk terus maju ke hadapan. Dengan skil yang ditampilkan dalam setiap gerakan, dan juga potensi bintang pada pemain sepak takraw moden tempatan, sukan ini mampu menjadi ikutan masa kini,” katanya.

Jersi baharu STL tahun ini tampil dengan rekaan menarik dan kualiti material yang lebih baik selain teknologi pembuatan yang ringan untuk keselesaan pemain.

Ia datang dengan dua rekaan, jersi tuan rumah dan tempat lawan.

Justeru semua peminat STL boleh mendapatkan jersi pilihan masing-masing di gedung-gedung Li-Ning yang berdaftar atau secara online di www.Li-Ning.my, www.sportsclick.my, Shopee dan juga Lazada.

Semua peminat sepak takraw boleh menyaksikan STL Divisyen 1 bermula 8 Setember 2020 di platform digital Astro Arena dan pelancaran STL pula bermula September nanti.- MalaysiaGazette