Adnan Mat. foto AFFAN FAUZI, 30 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik langkah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melaksanakan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia merupakan langkah yang tepat pada masanya bagi memastikan negara bergerak ke hadapan meskipun Malaysia masih berusaha untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Jelasnya, e-kerajaan akan menambahbaik perkhidmatan awam dalam negara dengan bantuan kecanggihan peralatan teknologi.

“Sebagai penjawat awam, pelaksanaan e-kerajaan ini melegakan semua 1.6 juta kakitangan dalam perkhidmatan awam. Pada pandangan CUEPACS langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya bertujuan untuk menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia ketika ini.

“CUEPACS percaya kecanggihan teknologi maklumat mampu menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih cekap sekali gus memacu kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Meskipun akan melaksanaan sistem e-kerajaan namun Muhyiddin hari ini menjelaskan, jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta di seluruh negara tetap dikekalkan.

Adnan berkata, jaminan Perdana Menteri sudah tentu akan melegakan ramai penjawat awam, sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak.

“Jaminan Perdana Menteri untuk mengekalkan jumlah 1.6 juta penjawat awam sedia ada turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa saiz perkhidmatan awam negara ketika ini terlalu ramai.

“Jumlah ini sebenarnya masih tidak mencukupi walaupun sistem e-kerajaan diperkenalkan kelak. E-kerajaan hanyalah kecanggihan teknologi, ia tetap tidak akan dapat berfungsi dengan baik bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa penjawat awam yang menjadi tunjang kepada pertadbiran kerajaan,” kata beliau.

Justeru CUEPACS berharap semua penjawat awam tidak membuat andaian negatif terhadap kenyataan Perdana Menteri hari ini.

“Penjawat awam tidak perlu bimbang sistem e-kerajaan ini tidak akan menggantikan tugas mereka kerana ia dicipta bertujuan mejadikan kerja yang dilakukan ketika ini lebih mudah dilaksanakan.

“Dalam sektor-sektor tertentu pula, sentuhan atau keterlibatan secara langsung daripada penjawat awam masih diperlukan oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette