Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Ahli-Ahli Parlimen DAP tidak habis-habis memutar belit dan menutup kesilapan mereka berhubung projek pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2).

Menteri Pengangkutan itu memberitahu, kos sebenar projek tersebut hanya antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion kalau ditender semula.

Lantaran itu, beliau mempersoalkan kalau DAP sudah tahu kos sebenar projek berkenaan antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion, mengapa pada 2 Julai 2019, Pakatan Harapan (PH) meluluskan KVDT2 yang dibatalkan oleh Kabinet PH pada 19 Oktober 2018 diluluskan secara rundingan terus pada harga RM4.475 bilion.

”Ini bermakna terdapat “overprice” sekitar RM1 bilion hingga RM1.5 bilion berbanding dengan anggaran Anthony Loke. 1001 persoalan, kenapa Anthony bersama lima pemimpin DAP lain yang ada di dalam Kabinet tidak membantah, sebaliknya disokong penuh? Pelik, pelik, pelik!,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Ka Siong lagi, DAP juga asyik mengelirukan rakyat kononnya ada pengurangan kos sebanyak 15% sedangkan ia lebih menjurus kepada pengurangan skop kerja.

Anthony Loke telah mengesahkan tentang pengurangan skop kerja dan menaik taraf 10 stesen di sepanjang laluan KVDT2 yang kosnya ditanggung oleh  Perbadanan Aset Keretapi (RAC) milik sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

”RAC yang bina? Siapa pula membayar kosnya?,” soal Ka Siong.

Menteri Pengangkutan itu berkata, beliau juga mendapati skop kerja asal mitigasi banjir projek KVDT2 turut dikurangkan oleh PH.

Jadi persoalannya, kalau berlaku banjir kelak, siapa pula yang bakal menaggung kos pembaikan, tanya Ka Siong sambil membuat satu kesimpulan.

”Katakan harga sepinggan nasi goreng ayam (KVDT2) ialah RM10. Kalau kurangkan kuantiti (skop kerja) nasi goreng ayam tersebut menjadikan harganya RM8.50 atau harga asal nasi goreng ayam dikurangkan kepada RM8.50 dan selebihnya (RM1.50) ditanggung oleh pihak lain (RAC yang juga milik kerajaan), itu bukanlah penjimatan (bagi kerajaan), tetapi sebenarnya “ubah skop asal” atau pihak lain (RAC) yang tolong bayarkan.

”Tapi, kalau dirunding dengan pihak restoran (kontraktor) dan dapat harga nasi goreng ayam dengan harga RM8.50 tanpa pengurangan kuantiti (TANPA pengurangan skop kerja) atau ”diskaun” RM1.50 TIDAK PERLU ditanggung oleh pihak lain (RAC yang juga milik kerajaan), maka ini barulah dikatakan sebagai penjimatan! (kepada kerajaan)😁,” jelas Ka Siong. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.