Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz beramah mesra dan megucapkan terima kasih kepada peniaga di pasar pada hari pertama sebagai ADUN Slim selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim ketika di Pasar Pagi Pekan Lama Slim, Perak. foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Baru sahaja malam tadi diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, wakil rakyat baharu kawasan itu, Mohd Zaidi Aziz, 43, hari ini mula turun padang menyantuni masyarakat.

Selepas solat Subuh berjemaah di Masjid Jamek Slim Village, Mohd Zaidi meluangkan masa bersarapan dengan ahli jemaah di sebuah warung sebelum ke Pasar Pagi Slim River bagi merakamkan penghargaan atas kepercayaan memilihnya dalam PRK diadakan semalam.

Beliau sempat membeli barang basah kerana memberitahu akan mengadakan majlis kesyukuran bersama adik-beradik pada tengah hari ini.

Masyarakat terutama generasi lama dilihat gembira dengan kemenangan itu dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Zaidi yang bukan lagi asing bagi penduduk setempat memandangkan beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Mohd Zaidi yang ditemui berkata, tugasan pertama beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu dengan meneliti semula catatan permasalahan penduduk sepanjang berkempen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz bercakap kepada media selepas beramah mesra dan megucapkan terima kasih kepada peniaga di pasar pada hari pertama sebagai ADUN Slim selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim ketika di Pasar Pagi Pekan Lama Slim, Perak. foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2020.

Jelas usahawan itu, beliau akan melihat kepada keutamaan isu dan yang memerlukan perancangan rapi akan dikemukakan ke peringkat yang lebih tinggi untuk diselesaikan.

“Saya akan lihat dulu dan tengok keutamaan yang mana segera. Ada isu banjir dan infrastruktur sudah diambil pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri yang telah banyak membantu.

“Macam pasar ini dulu meriah kerana ada pasar pagi. Namun gara-gara Covid-19, kita tidak boleh elak tutup kerana kerajaan mengenakan SOP.

“Saya harap semua pihak sabar dan akan atasi dan cuba minta balik pasar pagi ini namun kena bincang dulu dengan majlis daerah kerana isu kesesakan.

“Kita kena cari solusi terbaik agar suasana kembali meriah kerana pendapatan peniaga terjejas sejak PKP,” katanya.

Malam tadi, BN menerusi, Mohd Zaidi mengekalkan kerusi DUN Slim, selepas diumum menang dengan majoriti besar dalam PRK kali ini.

Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran, yang memperoleh 276 undi.

Mohd Zaidi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Orang Tanjung Malim orang2 baik. Mak saya di lahirkan di tanjung malim. Syabas dan kekalkan semangat ukhuwah. Setinggi langit pun kita pergi tetap menyembah ke tanah. Terap sikap berbakti dan berkhidmat bukan mengambil kesempatan.

Comments are closed.