Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 30 individu termasuk tiga warganegara China yang dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian selepas menyerbu dua premis dalam Ops Dadu di Jalan Tun Razak di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 10 malam, 22 lelaki termasuk seorang penjaga premis berusia antara 19 dan 30 tahun ditahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis yang beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam setiap hari itu baharu dibuka sejak 15 hari lepas dan didalangi seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Nick.

Keuntungan harian mereka dianggarkan mencecah kira-kira RMB120,000 (RM73,000). Modus operandi yang digunakan adalah menghantar ratusan pesanan melalui aplikasi Soul, Wechat dan Telegram kepada pelanggan bagi tujuan mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, dalam serbuan kedua kira-kira 12.15 tengah malam pula, empat lelaki dan empat wanita berusia antara 21 dan 27 tahun ditahan.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati kegiatan yang didalangi seorang lelaki tempatan bernama Ah Chen itu beroperasi 7.30 pagi sehingga 7.30 malam setiap hari sejak enam bulan lepas.

“Anggaran keuntungan harian sindiket ini kira-kira RMB150,000. Semua perhubungan pelanggan dengan sindiket ini dibuat menerusi aplikasi Chat dan Skype,” katanya dan menambah kedua-dua sindiket ini dipercayai menyasarkan pelanggan dari China.

Beliau berkata, semua suspek dan barang rampasan antaranya monitor, telefon bimbit dan beberapa unit pemprosesan komputer (CPU) dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c), 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. – Bernama