Gambar hiasan

MENJADI seorang Melayu bukanlah takdir semata, barangkali bukan juga satu pilihan. Hatta menjadi seorang Melayu yang mempunyai darah campuran Cina, mungkin juga bukanlah kehendak atau pilihan kita. Mengapa perlu sombong mendabik dada atas nama kaum sendiri, dan sejak bilakah kita perlu berbangga dengan sesuatu yang kita tiada pilihan pada hakikinya. Suatu ketika dahulu, tempat ini dikenali sebagai Malaysia. Tempat dimana apabila menjelangnya perayaan Deepavali, bangsa Melayu beragama Islam tidak memiliki rasa kesangsian untuk mengunjungi rakan-rakan Hindu mereka, lalu duduk bersama menikmati thosai yang dicicah bersama kuah kari. Ketika itu, tiada yang mempersoalkan status halal atau haram daging yang dijadikan juadah kerana semua orang sedia maklum bahawa daging yang tidak halal sememangnya tidak akan disediakan kepada mereka orang-orang Muslim. Malah tidak perlu kepada pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dek kepercayaan dan keyakinan sesama kaum yang berlainan pada ketika itu.

Suatu ketika dahulu, tempat ini dikenali sebagai Malaysia. Tempat dimana seorang Melayu mesra memanggil tetangganya yang berlainan bangsa dan agama dengan panggilan Uncle, Aunty mahupun Achi. Tempat di mana seorang Melayu memberikan kepercayaan kepada seorang India mahupun Cina untuk menjaga anak kecilnya semasa ketiadaannya di rumah. Ketika itu, tidak pernah timbul isu serta kerisauan bahawa seorang India mahupun Cina akan memurtadkan anak mereka kepada agama Hindu, Buddha atau Kristian. Suatu ketika dahulu, tempat ini dikenali sebagai Malaysia. Tempat dimana seorang Melayu Muslim tidak pernah merasa ‘janggal’ terhadap rumah ibadat lain seperti kuil mahupun gereja. Ketika itu, setiap kaum dan bangsa memiliki rasa penghormatan yang baik terhadap rumah ibadat agama lain serta patung material Tuhan agama lain, jauh sekali daripada rasa kehinaan. Kerana pada ketika itu, kita tidak memiliki masalah persefahaman yang melibatkan perkauman, bahkan tidak pernah meletakkan jurang perbezaan antara kita dan mereka seperti ‘Aku seorang Melayu, tanah air ini aku yang punya’, mahupun laungan seperti ‘Aku seorang Cina, aku bukan pendatang asing kerana tanah air ini aku yang majukan’.

Kerana ketika itu, jalinan perhubungan antara Melayu-Muslim, Cina-Buddha dan India-Hindu sangat erat seperti ikatan kekeluargaan. Begitu terasa nilai persaudaraan yang merentas perbezaan bangsa dan agama.  Kepelbagaian kaum, bangsa dan agama di tempat yang bernama Malaysia ini harus kita raikan. Bukankah selalu diperdengarkan kepada kita bahawa manusia itu harus belajar daripada sejarah. Justeru, mengapa kita tidak pernah melibat kembali kepada sejarah lampau dan pelajari sesuatu daripadanya? Mengapa tidak kita pandang semula kepada Piagam Sahifah Madinah di zaman Rasulullah SAW yang merupakan sebuah piagam inklusif yang meliputi keseimbangan pelbagai komponen seperti adanya fasal untuk Muslim dan fasal buat mereka yang bukan Muslim? Dalam sejarah Islam, wadah kepelbagaian telah muncul dalam bentuk kesepakatan politik Piagam Madinah. Piagam Madinah adalah satu bentuk bukti syahadah (penyaksian) yang membuktikan bahawa suatu negara yang terbina boleh dibentuk dengan kesejahteraan, keamanan dan keadilan sekalipun terdapat pelbagai kepelbagaian pada perbezaan bangsa dan agama. Piagam ini telah berjaya menjadi contoh terbaik melangkaui sejarah dunia apabila ia membentuk satu bangsa dalam pengertian ummah siyasiyah berasaskan konsep kewarganegaraan penuh untuk semua.

Jika kita telusuri semula kepada sejarah pembinaan Piagam Madinah, kita akan menyedari dan seterusnya dapat memahami bagaimana apabila berlakunya perubahan pada realiti politik semasa ketika itu, tetapi prinsip dan nilai yang terkandung dalam piagam inklusif Sahifah Madinah tetap relevan untuk dijadikan formula dan acuan yang baik dalam membina bangsa menurut pengertian ummah siyasiyah. Dalam konteks Siyasah Islamiyah juga disebutkan bahawa antara wahana utama untuk mencapai takwa
adalah dengan berlaku adil. Surah Al Maidah pada ayat ke 8 jelas menyatakan hal yang sama yakni hakikat takwa adalah dengan adanya keadilan.

Justeru, jika menolong seorang Melayu yang susah itu adalah adil, maka itulah takwa.
Demikian juga jika menolong seorang Cina yang susah itu adalah adil, maka itulah takwa.
Hatta jika menolong seorang India atau yang beragama Kristian dan Buddha yang susah itu adalah adil, maka disitulah sebenarnya nilai capaian kepada takwa sepertimana yang disebut oleh Al Quran. Yang penting adalah tertegaknya keadilan; memberikan hak kepada yang berhak. Nabi SAW turut berpesan; “Fa’ti kulla dhi haqqin haqqah” (Maka kepada setiap yang berhak diberikan haknya). Demikian itulah budaya kerukunan hidup bersama dalam kepelbagaian. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil malah menyebut situasi realiti kepelbagaian perkauman, agama dan bangsa ini sebagai satu kelompok yang
berada dalam bingkai kesatuan.

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di dalam bukunya yang berjudul Membina Kesatuan Bangsa, terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) malah meninggalkan satu ‘persoalan’ yang mengajak kita semua untuk berfikir sejenak, sepertimana kata beliau dalam bukunya; “Setelah 62 tahun Merdeka, Malaysia tampaknya masih belum bebas daripada gejala rasisme. Tempoh yang demikian panjang ini, tampaknya belum cukup untuk menjadikan kita bijaksana dalam mengurus kepelbagaian. Kita masih gagal menyikapi pluraliti secara positif.”
Justeru kita harus bangkit membuang rasa bangga diri yang melampau terhadap bangsa kita sendiri.

Jangan kita binasakan nasib kita dek kerana sikap terlalu mengagungkan keturunan zaman-berzaman. Sama ada Melayu, Cina atau India sekalipun, tiada sebarang nilai padanya di Akhirat kelak. Dalam konteks kenegaraan, realitinya kita harus menjenamakan diri kita secara universal sebagai seorang Malaysian. Kita semua harus sedar dari ketaksuban yang kita agungkan, membangunkan diri kita dari masalah persefahaman dan perkauman yang tiada kesudahan. Lihat semula kepada sejarah lampau sebagai ibrah
pengajaran, namun kekal pandang ke hadapan dan belajar daripada kesilapan.

Bear in mind that all the races, collectively contributed to this national country. So why do we still need to be racist? Every race played a part in what we are today – for a better nation, a better Malaysia. Merdeka hari ini, adalah merdeka yang dicari-cari ketulenan identiti bangsa kita, merdeka yang dicari keabsahan kita dalam memaknai hidup sebagai anak watan. Kerana merdeka hari ini kita simpan untuk dikecapi dan dirasai oleh generasi akan datang.

Oleh: SOFIYA TAMIZI, Aktivis sosial, Nadi Mahasiswa Malaysia dan UMNOSiswa Malaysia.