LONDON – Manchester City sedia untuk menawarkan kontrak dua tahun kepada Lionel Messi.

Pengurusnya, Pep Guardiola optimis pemain antarabangsa  Argentina itu boleh dipujuk meninggalkan Barcelona.

Laporan media Sepanyol mendakwa City komited untuk mendapatkan Messi bagi membantu pasukan Liga Perdana Inggeris itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Laporan sama turut menjelaskan Pengarah Sukan City, Txiki Begiristain sudah berada di Barcelona untuk cuba memuktamadkan perjanjian dengan Messi.

Messi tidak hadir ujian kecergasan dua latihan pramusim kelab itu.

Pemain berusia 33 tahun itu berpendapat dia bebas meninggalkan Barcelona secara percuma berdasarkan klausa pelepasan dalam kontrak.

Bagaimanapun La Liga bertegas Messi masih merupakan pemain Barcelona kerana kontraknya hanya tamat pada 30 Jun 2021.

Mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmatnya wajib menjelaskan nilai klausa pelepasan berjumlah £630 juta yang ditetapkan dalam perjanjian itu.

Bapa Messi, Jorge bersedia untuk bertemu Lembaga Pengurusan Barcelona pada minggu ini untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul. – MalaysiaGazette