Jacinda Ardern. foto the Guardian

WELLINGTON – Pesalah yang bertanggungjawab ke atas serangan keganasan di Christchurch pada 15 Mac 2019, dimasukkan ke dalam senarai entiti pengganas, demikian umum Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Selasa.

“Penetapan itu menunjukkan New Zealand sangat mengecam keganasan dan ekstremisme dalam apa jua bentuk,” kata Arden dalam satu kenyataan lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri itu berkata ia dilakukan berdasarkan undang-undang New Zealand, membekukan aset entiti pengganas dan menjadikannya satu kesalahan jenayah jika turut serta atau menyokong aktiviti entiti berkenaan.

“Ia bagi memastikan pelaku tidak boleh terlibat dalam membiayai keganasan pada masa akan datang,” kata Ardern.

“Kita mempunyai tanggungjawab kepada New Zealand dan masyarakat antarabangsa untuk mencegah keganasan,” katanya.

Kini terdapat 20 entiti pengganas di bawah undang-undang New Zealand, termasuk dalang kejadian Christchurch itu.

Di bawah Seksyen 22 Akta Memerangi Keganasan 2002, Arden menetapkan individu atau kumpulan sebagai entiti pengganas, atas nasihat pegawai.

Maklumat lanjut mengenai proses itu boleh didapati di laman web Polis New Zealand, katanya.- BERNAMA