Muhyiddin Yassin. foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai masa untuk ‘berbulan madu’ setelah diberi amanah mentadbir negara sejak Mac lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaik sahaja kerajaan PN dibentuk, ia terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat.

“Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu. Tidak ada tempoh bulan madu untuk kita semua.

“Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

Muhyiddin berkata, krisis getir yang menguji kebertanggugjawaban kerajaan PN kepada rakyat ialah penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Ujarnya, krisis seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia serta di seluruh dunia namun berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara telah berjaya mengharunginya dengan baik.

Menurut Muhyiddin lagi, sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, beliau tidak boleh membiarkan krisis itu begitu sahaja dan disebabkan itu juga beliau terpanggil memberikan ‘perlindungan’ ekonomi kepada rakyat.

Justeru beliau telah meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya mencari sumber kewangan untuk negara.

Katanya, beliau tidak sampai hati untuk memberitahu kepada rakyat kerajaan tidak mempunyai wang ketika mereka berada dalam kesusahan.

“Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, “Ya tuan, kita ada wang “. Saya berkata,” Baiklah, kita akan menggunakan wang itu untuk meringankan beban orang”.

“Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion.

“Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dan mereka amat berterima kasih,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.