Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Siasat aduan berkenaan pencemaran bunyi, bau dan air yang berlaku di Taman Bakti, Banting, kata Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menyiasat aduan penduduk di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada pengadu dan media yang menyiarkan berita tentangĀ  kebimbangan penduduk yang terjejas dengan kilang yang dikatakan memproses kertas itu.

“Terima kasih kepada pihak pengadu dan The Star yang telah menyiarkan kebimbangan penduduk Taman Bakti, Banting.

“Penduduk mengadu mengenai pencemaran bunyi, bau dan air yang didakwa berpunca daripada operasi kilang yang terletak dalam radius 150 meter daripada kawasan perumahan dan sekolah. Saya telah minta Ketua Pengarah JAS untuk membuat siasatan lanjut,” katanya.

The Star dipetik sebagai berkata melaporkan kilang berkenaan beroperasi sejak setahun yang lalu.

Sebelum itu, penduduk Taman Bakti bimbang terhadap kesihatan pelajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis dan Sekolah Menengah Agama Tinggi Sungai Manggis akibat bau yang tajam dihasilkan oleh kilang yang terletak hanya 150 meter dari kawasan berkenaan.

Mereka dikatakan bimbang sekiranya bau tajam itu terhasil daripada bahan kimia daripada kilang berkenaan.-MalaysiaGazette