Zaharudin Daud

KUALA LUMPUR – MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengumumkan Zaharudin Daud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat berikutan persaraan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MNRB, Mohd Din Merican pada 23 November ini setelah menerajui kumpulan ini lebih lapan tahun.

Mohd Din dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB pada 9 Januari 2012.

Beliau kemudiannya memegang dua jawatan setelah dilantik sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad pada 30 November 2018 tetapi telah melepaskan jawatan itu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan Zaharudin sebagai bakal Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan telah diatur oleh Lembaga Pengarah MNRB bagi memastikan peralihan kepimpinan yang lancar dan berjaya.

Dalam tempoh peralihan ini, Zaharudin akan bekerjasama dengan Mohd Din dan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 23 November 2020.

Zaharudin mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri insurans am.

Sebelum menyertai MNRB, Zaharudin adalah Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Takaful Berhad mulai Januari 2018.

Nor Azman

Dalam pada masa yang sama, Ahli Lembaga Pengarah juga telah mengumumkan pelantikan Nor Azman Zainal sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family mulai
hari ini.

Nor Azman pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful dari Ogos 2017.

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah/Ketua Pegawai Pemasaran Prudential BSN Takaful dari Jun 2012 hingga Ogos 2017.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 23 tahun dalam industri insurans / takaful. juga pernah memegang jawatan Penolong Naib Presiden Pemasaran Produk di AIA Alliance Takaful. – MalaysiaGazette