Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Nilai moratorium bayaran balik pinjaman bank dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Daripada jumlah itu, katanya, RM27.35 bilion dimanfaatkan sektor perniagaan, manakala RM50.79 bilion oleh rakyat.

Beliau berkata, mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 Sept ini, institusi perbankan bersedia membantu peminjam.

“Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” katanya dalam Laporan Laksana ke-19 mengenai Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara.

Sementara itu, untuk dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana yang dikendalikan Bank Negara, Tengku Zafrul berkata, setakat 21 Ogos lalu, jumlah permohonan yang diluluskan bank tempatan dan diterima ialah RM10.2 bilion yang akan memberi manfaat kepada 22,322 PKS.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan peningkatan daripada RM10.1 bilion pada minggu lalu yang memanfaatkan 22,143 PKS.

Katanya, jumlah itu termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.

“Alhamdulillah, Kemudahan Bantuan Khas dimanfaatkan sepenuhnya dan lebih 21,000 PKS menerima kemudahan ini serta berjaya membantu mengekalkan lebih 400,000 pekerjaan.

“PKS masih boleh memohon pelbagai bantuan pembiayaan seperti dana institusi perbankan dan Tabung BNM seperti Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.”

Mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH), Tengku Zafrul berkata, 4.18 juta penerima berjaya menerima bayaran BSH berjumlah RM2.7 bilion yang dimasukkan terus ke akaun bank mereka.

Bagaimanapun, katanya, penerima BSH yang “gagal kredit” atau bayaran tidak dapat disalurkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional sehingga 31 Dis ini.

“Saya ingin mengingatkan bahawa permohonan rayuan BSH 2020 dibuka sehingga 6 Sept ini.”

Bagi skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, jumlah pengeluaran kumulatif antara April hingga 21 Ogos lalu berjumlah RM7.48 bilion melibatkan 4.57 juta penerima berbanding RM7.4 bilion dengan 4.55 juta penerima pada minggu lalu.

Sehingga 21 Ogos lalu, RM10.3 bilion diluluskan bagi Program Subsidi Upah yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM8.9 bilion berjaya disalurkan.”- BERNAMA