KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lemas selepas dihanyutkan arus deras dan tiga lagi mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian fenomena kepala air di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu dekat sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat Abdul Wafi Wuuzir ditemukan di celahan batu berdekatan kawasan tempat kejadian pada 5.44 petang tadi.

Kanak-kanak malang itu antara 16 orang daripada tiga kumpulan yang sedang beriadah di sungai itu sebelum mangsa dan tiga lagi individu dihanyutkan oleh gelombang aliran mengejut akibat hujan di hulu sungai.

“Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu menerima panggilan pada 3 petang tadi dan terus mengerahkan anggota ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Norazam, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dan dua lelaki yang berpaut dan duduk di atas batu berjaya diselamatkan oleh anggotanya. – Bernama