Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran (tengah) menunjukan borang laporan SPRM kepada media berhubung Isu Projek Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Secara Rundingan Terus di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 2 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Batu,  P. Prabakaran mempersoalkan ke mana hilangnya peruntukan kerajaan berjumlah RM50 juta bagi projek pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal baharu secara rundingan terus membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lebih malang apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi alasan tidak mengetahui mengenainya sedangkan beliau sendiri merasmikan stesen itu pada 10 Disember 2019.

“Di manakah perginya RM50 juta? Senarai Projek Runding Terus ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini dan telah dijawab oleh Zuraida bahawa beliau tidak tahu perkara ini.

“Amat mengelirukan kerana menteri telah pun merasmikan Taman Mini ketika lawatan kerja ke Transfer Station pada 10 Disember 2019,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai 101 Projek Rundingan Terus berjumlah RM6.61 bilion ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan lalu.

Antaranya ialah Projek Stesen Pemindahan Sisa Pepejal yang pada asalnya telah dianugerahkan kepada satu syarikat berjumlah RM170 juta secara runding terus dan kemudian syarikat tersebut telah memberikan sub kepada syarikat lain dengan harga sebanyak RM120 juta.

Prabakaran juga menyifatkan penafian Zuraida itu sebagai mengelirukan apabila beliau sendiri memuat naik perkara itu di Facebooknya pada 10 Disember 2019.

“Di laman rasmi Facebook Zuraida Kamaruddin bertarikh 10 Disember 2019,  menteri memaklumkan KPKT akan membina satu stesen pemindahan sisa pepejal baharu bagi menggantikan stesen pemindahan sedia ada di Taman Beringin, Kepong,” dakwanya.

Sehubungan itu, Prabakaran akan membuat laporan salah guna kuasa dan salah laku rasuah ke atas Zuraida bagi meminta SPRM menyiasat sejauh mana kebenaran projek itu membabitkan Menteri Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.

“Tujuan laporan ini dibuat agar pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada salah laku yang dilakukan oleh Zuraida selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan individu-individu lain.

“Ini kerana perkara ini melibatkan dana kerajaan sebanyak RM170 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. macam ini lah jadi wakil rakyat. ambil tahu salah guna kuasa wanil rakyat lain. bukan sama2 klintong sama2 tutup menutup. hari ni giliran kau esok giliran aku pula kau diam saja lah.

  2. Dia org ni semua cuma tukar baju jer,batang tubuh adalah mala’un yg sama jugak..jgn silap..
    Ini semua tingkah laku org2 PH lah,bila dah berpecah tikam menikamlah jadinya..

Comments are closed.