Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sejumlah 48 individu telah dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seorang telah dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (12), tidak memakai pelitup muka (17), premis beroperasi lebih masa (13), langgar perintah kuarantin (1), dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (5),” kata Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 22,252 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 70 Hotel dan 4 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 8,985 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 13,201 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 32 negara,” jelas beliau.

Mengenai tapak binaan, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan 22 tapak binaan di seluruh Malaysia.

Hasil pemeriksaan mendapati 21 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala sebuah tapak binaan tidak patuh dan diberi amaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 1,399 premis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Ia hasil pemantauan 1,416 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP harian yang Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – MalaysiaGazette