Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – KUALA LUMPUR – sebanyak 11 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari dengan sembilan kes pulih.

Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu adalah 165 kes dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,092 kes  atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala jumlah kumulatif kes positif sebanyak 9,385 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara dan lima bukan warganegara.

“Kesemua tujuh kes import tersebut adalah dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu lima kes baru pulang dari India dan masing-masing satu kes yang juga pulang dari Arab Saudi dan United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada empat kes penularan di dalam negara, tiga daripadanya adalah dalam kalangan warganegara tempatan dan satu kes melibatkan bukan warganegara iaitu kes saringan tahanan yang bakal dihantar pulang ke negara asal di Pusat Tahanan Sementara Beranang, Selangor.

Tambah beliau, satu kes adalah daripada kluster Telaga di Kedah, satu kes kuster Depot Tahanan Imigresen Semenyih 2 di Selangor dan satu kes dari Negeri Sembilan juga melibatkan kluster DTI Semenyih 2.

Katanya, sehingga kini terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya. – MalaysiaGazette