Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Air Selangor menjangkakan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang yang terputus sejak semalam hanya akan mula pulih secara berperingkat dalam tempoh sekurang-kurangnya empat hari lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata ini kerana Loji Rawatan Air (LRA) terjejas hanya akan kembali beroperasi selepas mencatatkan bacaan tahap pencemaran bau pada tahap sifar ton tiga kali berturut-turut.

“Setakat ini, bacaan ialah pada satu ton berbanding tiga ton semalam dan LRA Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi,” katanya pada sidang media di Bangunan Air Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memandang serius isu pencemaran tersebut kerana telah  menyebabkan LRA terbabit henti tugas melebihi 30 jam.

Katanya pencemaran itu menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di  Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak serta Kuala Langat.

“… kita tiada tempoh yang tepat bila gangguan bekalan air ini akan pulih, justeru bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori-lori tangki air dan pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini berkata sebuah kilang disita dan dikenakan kompaun serta-merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Semalam, LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Minta kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan istihar cuti umum untuk kawasan2 tiada air di Selangor selama mana isu air ini berlarutan?

    Bagaimana mahu kerja atau pergi kesekolah kalau tiada air untuk mandi, berak, memasak, makan, basuh pinggan etc etc etc?

Comments are closed.