PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

BAGAN SERAI – Polis tidak menerima sebarang laporan yang mendakwa pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu lepas disogok dengan wang sebagaimana dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sekiranya menerima laporan, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat siasatan.

“Sesiapa yang ada maklumat pengundi dirasuah boleh datang ke balai untuk membuat laporan.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan pengundi disogok pada PRK Slim. Kita hanya terima lima laporan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kerian di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Supt Mazuki Mat, 58, mengambil alih jawatan Ketua Polis Daerah Kerian yang baharu menggantikan ACP Omar Bakhtiar Yaacob, 56, yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa berlaku pengundi di DUN Slim menerima sokongan sehingga RM150 seorang apabila mengundi calon Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, mengulas isu judi dalam talian, Razarudin berkata, pihaknya telah membuat 30 permohonan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik ke premis berkaitan di Perak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12 premis di Ipoh telah diambil tindakan manakala baki 18 lagi masih dalam proses untuk tindakan.

“Kita bekerjasama rapat dengan TNB dan setakat ini tiada masalah,” katanya sambil menambah judi dalam talian tidak serius di Perak kerana pihaknya sentiasa mengambil tindakan jika ada maklumat. – Bernama