KUALA LUMPUR – Seorang penumpang cedera dalam kejadian keretapi elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang, Selangor petang tadi.
Sementara itu, 29 lagi penumpang komuter dan 93 penumpang tren ETS terselamat dalam insiden itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad, Datuk Dr. Ir. Kamarulzaman Zainal berkata tren komuter itu dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim menuju ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar ke Stesen KL Sentral sekitar jam 6.37 petang tadi.
“Satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan laluan tren lain,” katanya dalam kenyataan selepas insiden itu dilaporkan petang hari ini.
Tambah beliau, penumpang komuter yang cedera ringan di tangan itu telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanannya ke Stesen Sungai Buloh.
Kamarulzaman turut menjelaskan bahawa pihak KTMB sedang mempergiatkan kerja-kerja membaikpulih di lokasi kejadian.
“Siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenalpasti punca kejadian itu.
“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat telah dimaklumkan mengenai siasatan itu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette