KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan tujuh pertukaran jawatan pegawai kanannya.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad memaklumkan, ketujuh-tujuh jawatan itu melibatkan penugasan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Urusetia Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, ACP Mohamad Usuf Jan Mohamad memangku pangkat Senior Asisten Komisioner ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) JSJK Bukit Aman.
Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kuala Lumpur, ACP Izan Bakri pula ditukarkan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas, Bukit Aman manakala Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan Operasi Selangor, ACP Azli Amin pula memegang jawatan sama dan ditukar ke Kuala Lumpur.
Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Kewangan/Perbankan/Koperasi/Insurans, JSJK Bukit Aman, ACP Muniandy A/L Ramsamy pula bertukar jawatan sebagai Ketua Urus setia Perundangan, JSJK.
Tiga lagi pegawai iaitu Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik, JSJK Bukit Aman, ACP Mazelan Paijan pula mengambil jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Muniandy.
Supertendan Lai Lee Ching yang memegang jawatan Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor dinaikkan pangkat sebagai ACP dan bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Perancangan Strategik, JSJK Bukit Aman.
Pegawai Turus E1, Cawangan Khas Perak, Supt Mohamed Izzani Abdul Halim pula turut dinaikkan pangkat sebagai ACP dengan bertukar jawatan dan lokasi tugas sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi, Selangor.
Asmawati berkata, kesemua pertukaran dan kenaikan itu berkuatkuasa hari ini. – MalaysiaGazette