JERUSALEM – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan membuka kedutaan di Israel dalam tempoh antara tiga hingga lima bulan, kata seorang pegawai kanan UAE, lapor agensi berita Anadolu yang memetik akhbar, Israel Hayom.

Pegawai Kementerian Luar UAE yang tidak mahu dikenali berkata: “Saya rasa warga Israel boleh mendapatkan visa perjalanan ke UAE dari sebuah kedutaan yang akan dibuka di Israel selepas tiga hingga lima bulan daripada sekarang.

Pada awal minggu ini, Kementerian Luar Israel mengumumkan bahawa para pegawai kedua-dua buah negara berbincang mengenai pembukaan kedutaan di Israel dan UAE semasa rundingan dilakukan di Abu Dhabi yang disertai pegawai Amerika Syarikat.

Akhbar yang sama memetik pegawai UAE berkata: “Abu Dhabi sedang menimbang membuka konsulat di Haifa atau Nazareth di samping kedutaan di Israel,”.

Pada Isnin lalu, penerbangan komesial pertama Israel yang menggunakan ruang udara Arab Saudi mendarat di Abu Dhabi.

Pada 13 Ogos lalu, UAE dan Israel mengumumkan mengadakan hubungan antara kedua-dua negara, termasuk membuka kedutaan.

Pihak berkuasa Palestin mengutuk perjanjian UAE-Israel itu dengan berkata, ia mengabaikan hak warga Palestin. – MalaysiaGazette