PUTRAJAYA – Warga kerja setiap kementerian serta jabatan kerajaan selepas ini perlu bekerja dengan lebih pantas dan efisien serta tidak boleh lagi mengikut gaya kerja lama sebelum ini.
Malah ketika ini, kerajaan juga telah menetapkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) Jabatan.
Ini bertujuan untuk merancang serta memastikan semua projek serta program dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.
Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, sejak pandemik Covid-19 melanda, diikuti pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak perancangan yang sudah di rancang terpaksa ditangguhkan.
“Saya ingin sebut bahawa dalam keadaan ini tindakan segera dan pantas daripada kita semua amat diperlukan.
“Seandainya kita masih lagi bergelut dan terikat dengan alasan serta masih menggunakan tatacara kerja yang lama, kita khuatir pemulihan ekonomi negara akan mengambil masa lebih panjang.
“Kita sudah tangguh projek dan program ini dalam tempoh yang lama kerana Covid-19.
“Oleh itu, saya dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman) tetapkan KPI untuk KSU dan KP bagi memastikan semua yang dirancang dapat digerakkan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kelestarian Malaysiaku Indah, di Padang Semarak Taman Wetland Putrajaya, di sini hari ini.
Tambah Mohd Zuki, seandainya KSU mahupun KP ‘gagal’ dalam menggerakan projek mengikut ketetapan yang dibuat atau akan dihadapkan ke jawatankuasa di peringkatnya.
“Perlu ada alasan munasabah untuk di pertimbangkan. Itu akan di pertimbangkan di sebuah jawatankuasa peringkat saya dan KPPA serta beberapa ahli yang dilantik nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kadar pengangguran yang sedang melanda negara berikutan Covid-19, kata beliau, kerajaan sedang menelitinya dengan serius dan akan membuat pengumuman tentangnya kelak.
“Hal itu memang dalam perhatian kerajaan. Jika dilihat sudah banyak usaha kerajaan dalam melaksanakan program menggerakkan ekonomi negara serta memastikan mereka yang terjejas atau hilang pekerjaan akibat Covid-19 dalam perhatian kerajaan.
“Buat masa ini saya tidak boleh perincikan apa-apa lagi tapi sudah ada perancangan, nanti kita akan umum bila tiba masanya,” kata Mohd Zuki.
Mohd Zuki juga kemudian menyertai Pokok Fun Ride bersama-sama KPPA, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, ketua-ketua setiausaha kementerian termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Seramai 70 peserta terlibat dalam acara berbasikal sejauh 13 kilometer itu yang dilepaskan oleh Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Norizam Che Mohd Nor. –MalaysiaGazette