SHAH ALAM – Gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan kira-kira 1.2 juta akaun di sekitar Lembah Klang sejak Jumaat lalu dan dijangka selesai selewat-lewatnya Rabu ini.
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor bagi Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas bermula Khamis lalu disebabkan berlaku pencemaran air mentah di kawasan Sungai Gong, kini mulai pulih secara berperingkat-peringkat sejak awal pagi semalam.
Bagaimanapun bekalan air melibatkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat masih belum pulih sepenuhnya.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Shah Alam hari ini mendapati bekalan air masih belum pulih sepenuhnya, lebih-lebih lagi membabitkan kawasan perumahan di kawasan tinggi dan berstrata seperti pangsapuri dan apartmen.
Jika malam semalam dari jam 8 malam hingga 11.30 malam, orang ramai masih beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki Air Selangor yang diletakkan berdekatan dengan Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini, namun keadaan hari ini agak berbeza.
Keadaan agak lengang, hanya kelihatan sebuah lori tangki besar dan beberapa lori tangki agihan milik Air Selangor berkumpul di situ kira-kira jam 8.30 pagi tadi sebelum mereka mengagihkan bekalan air ke kawasan-kawasan perumahan terdekat yang terjejas.
Salah sebuah lori agihan Air Selangor dikesan berada di kawasan perumahan flat PKNS di Seksyen 18, kira-kira jam 10 pagi tadi dan MalaysiaGazette mendapati orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air.
Salah seorang penduduk yang ditemui MalaysiaGazette ketika sedang menunggu giliran untuk mengisi air di dalam baldi-baldi plastik yang dibawanya sempat berkongsi pengalamannya ketika berdepan krisis air itu.
Menurut Rohafiz Izwan Roshihan Anuar, 29, krisis kali ini disifatkannya paling terburuk pernah dihadapinya di sini susulan notis gangguan bekalan air tidak berjadual dibuat secara mengejut dan dia sekeluarga tidak sempat untuk menyimpan air secukupnya untuk keperluan harian.
“Kali ini macam susah sikit sebab agak lama (bekalan air terputus). Nasib baik ada keluarga terdekat yang menyimpan air. Saya ada minta mak mertua pergi ke rumah kakak ipar saya.
“Di sini (Seksyen 18) lagi susah, rumah kami pula di tingkat paling atas (empat) agak terseksa kalau nak angkat air berulang kali. Apatah lagi saya terpaksa pergi kerja, harap perkara ini dapat selesai dengan segera.
“Walaupun kami ada tadah, tapi tak cukup sebab masa diberi pun agak singkat, kita pun tak jangka akan lama (terputus), malah ramai penduduk di sini pun tak tahu berapa air terputus,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di perumahan pangsapuri PKNS, Seksyen 18, di sini, hari ini.
Bagi Abdullah Ahmad, 48, gangguan bekalan air bukan perkara baharu bahkan kerap kali berlaku hingga menyusahkan semua lapisan masyarakat, apatah lagi warga emas dan ahli keluarga uzur sukar bergerak mencari bekalan air.
“Perkara ini berulang kali berlaku, tiada peningkatan, nasib baik rumah saya bukan tingkat paling atas, kalau tidak berapa kali nak ulang-alik.
“Ada kawan-kawan saya sampai terpaksa cari air di kawasan perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, dia terdesak dan tiada pilihan, anak pula masih kecil perlukan bekalan air bersih,” katanya.
Katanya, memandangkan bekalan air terhad, dia terpaksa membeli air mineral dalam kuantiti banyak yang diperolehnya dari kedai-kedai runcit berdekatan untuk kegunaan memasak dan minum.
“Bila bekalan air terputus dan tiada sumber lain, saya sendiri terpaksa menggunakan air mineral di bilik air apabila buang air kecil dan besar.
“Tapi saya utamakan orang tua (guna air bersih) dan saya juga ada beli tisu basah dan kelengkapan lain untuk bersihkan diri warga emas ini.
“Keadaan kami sangat membimbangkan bukan saja nak cuci pinggan-mangkuk bahkan susah nak membersihkan diri selepas membuang air kecil dan besar,” katanya.
Sementara itu, bagi Nurul Asyikin Mahmud, 63, dia berharap pihak Air Selangor dapat menghantar sekurang-kurang dua lori agihan air untuk satu kawasan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di situ.
“Air Selangor ada beri alasan lori tangki tidak mencukupi, sebab itu kami tidak mengadu. Baru hari ini ada sebuah lori Air Selangor datang ke kawasan ini. Itupun tak ramai tahu sebab ada yang keluar rumah cari air di luar.
“Di sini ada 16 blok PKNS, masalahnya air lambat naik ke dalam tangki sebab tekanan air masih rendah. Sebab itu kami perlukan pihak Air Selangor hantar air ke kawasan ini dan bekalan air di rumah bertingkat ini lambat pulih.
“Kalau boleh Air Selangor kena hantar lori tangki hari ini juga, walaupun rumah bawah (teres) di kawasan ini sudah menerima air, rumah flat seperti kami akan ambil masa, kami lewat esok baru pulih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Salam simpati! Kalau tiada pemantauan teliti dari pihak2 berwajib, tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku lagi dalam tempoh terdekat!
sepatutnya semua kilang dan bengkel berhampiran sungai yang bekal air minuman sudah lama ditutup, biar mereka cari tempat lain. Penguatkuasaan terlalu lemah. kes selalu berulang.
Kuat kuasa kaw rizeb sungai dan tadahan air, bukan utk bagi2 tanah tu, ceroboh tanam pokoklah, buat setingganlah, kilang haramlah … haram belaka jadinya … bila takde air haram jadah dipanggilnya…