Mustapa Ibrahim ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Mutiara 6, Taman Selayang Mutiara, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

GOMBAK – Gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar Selangor dan Lembah Klang kali ini bukan sahaja memberikan tekanan kepada pengguna malah telah membangkitkan kemarahan kerana ia semakin kerap berlaku sehingga menjejaskan urusan seharian mereka.

Bagi pengguna yang tinggal di rumah pangsa, atau yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, ketiadaan bekalan air umpama satu bencana gara-gara kegagalan pihak kerajaan negeri bertegas memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pihak kerajaan negeri juga dilihat telah gagal dalam menyediakan pelan tindakan untuk memastikan pengguna tidak terjejas dalam tempoh yang lama apabila berlaku kejadian yang tidak dirancang itu.

Tinjaun MalaysiaGazette di pili air awam di Jalan Mutiara 6, Bandar Baru Selayang mendapati orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan itu terpaksa mengharungi panas terik semata-mata untuk mendapatkan bekalan air di pili awam yang disediakan syarikat Air Selangor.

Bukan setakat berpanas, mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk mengisi bekas air yang dibawa, lebih menyedihkan apabila ada kalangan pengguna membawa anak-anak kecil untuk membantu mengangkat air.

Pemandu teksi, Mustapa Ibrahim ketika ditemui MalaysiaGazette ternyata gagal membendung rasa kecewa beliau di atas perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha kilang yang menjadi punca bekalan air terpaksa dihentikan.

“Kilang inilah punca yang menyusahkan orang ramai, seandainya orang ramai saman syarikat tersebut kita tengok apa alasan dia,” katanya sambil menahan marah.

Seorang penduduk mengambil bekalan air yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Mutiara 6, Taman Selayang Mutiara, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

Lelaki berusia 53 tahun itu turut mempersoalkan kelewatan syarikat Air Selangor memaklumkan tentang gangguan air tersebut kepada pengguna.

“Jika dimaklumkan awal mungkin penduduk boleh melakukan persediaan, ini sudah beberapa hari baru nak keluarkan kenyataan,” katanya.

Seorang lagi suri rumah yang enggan berkongsi namanya turut tidak dapat menahan perasaan marah apabila ditanya tentang krisis yang sedang melanda Selangor dan Lembah Klang.

Surirumah ini turut melahirkan rasa kecewa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Mutiara 6, Taman Selayang Mutiara, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

Katanya, ganguan bekalan air itu menyebabkan beliau terpaksa memikirkan untuk membawa keluarganya ke sungai berdekatan bagi membersihkan diri.

“Kita mandi di rumah lebih selesa, kenapa saya perlu susahkan diri membawa mandi di sungai?” katanya dalam keadaan marah.

Ibu kepada dua anak itu berkata, kudratnya sebagai wanita mengehadkan usahanya untuk membawa air yang banyak ke rumahnya.

“Bagaimana perempuan yang mempunyai bayi yang perlu diuruskan menghadapi masalah gangguan air,” katanya.

Suaminya yang berada disampingnya juga mengatakan pihak kilang yang dipercayai melalukan pencemaran itu perlu dihukum penjara 200 tahun.

“Sepatutnya kilang tersebut ditutup sahaja jangan diberi buka lansung. Kalau boleh penjarakan dia sampai 200 tahun!” katanya.

Sementara itu, petugas yang menjaga pili awam, Khairul Nazir Ahmad Kadri berkata, kerjasama yang diberikan penduduk setempat ketika mengambil air wajar dipuji meskipun mendapat notis gangguan air dalam waktu yang singkat.

Khairul Nazir Ahmad Kadri

“Waktu puncak untuk orang awam datang menadah air adalah pada jam 10 pagi hingga tengah hari.

“Namun, Alhamdulillah kerjasama yang baik diberikan dan orang awam tidak berebut mahupun berasak-asak untuk mendapatkan bekalan air di pili awam,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast