Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat promosi hebat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selepas Pelancaran MyCar sebagai E-Hailing Rasmi Langkawi Great Sale 2020 di IOI City Mall, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mensasarkan 2.5 juta pengunjung akan  datang ke pulau berkenaan menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan berkata, jumlah berkenaan tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan trend peningkatan kedatangan pengunjung pada bulan Jun dan Julai lalu.

“Alhamdulillah sejak dibuka semula, perlahan-lahan kita dapat lihat peningkatan pada bulan Jun lebih kurang 82,000 pengunjung dan Julai 189,000 pengunjung.

“Kini kami sasarkan sekurang-kurangnya 200,000 pengunjung setiap bulan dari September ke Disember,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran MyCar sebagai e-Hailing Rasmi Langkawi Great Sale 2020 (Langkawi X MyCar) di sini.

Pada Januari yang lalu, seramai 337,000 pengunjung direkodkan datang ke Langkawi.

Dr. Hezri Adnan

Hezri menambah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan industri pelancongan Langkawi terjejas teruk.

Tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, ekonomi pulau tersebut berkembang semula dengan pelbagai pakej menarik.

Sebanyak 70 peratus pendapatan Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan.

Terdahulu, Hezri menyifatkan tahun 2019 sebagai tahun yang baik buat LADA apabila mencapai jumlah pengunjung 3.92 juta.

Mengulas lanjut, katanya, Langkawi kini menumpukan semula pemulihan dan perkembangan ekonominya khususnya pada aspek pelancongan.

Nmun pihak industri diingatkan untuk terus mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) untuk mengawal penularan Covid-19.

Sehingga kini, Hezri berpuas hati dengan sikap peserta-peserta industri pelancongan yang dilihatnya tidak mengabaikan SOP demi keuntungan.-MalaysiaGazette