Allan kini menjadi milik Everton.

KUALA LUMPUR – Kelab Liga Perdana Inggeris, Everton terus bernafsu mengukuhkan bahagian tengah pasukan dengan mendapatkan Allan dari kelab Itali, Napoli selepas kedua-dua pasukan bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai RM119.6 juta.

Menurut sumber Sky Italia, pemain tengah berusia 29 tahun itu yang telah mengumpul sembilan kaps bersama skuad kebangsaan Brazil akan kembali bersatu dengan Carlo Ancelotti.

Allan telah menandatangani kontrak selama tiga tahun di Goodison Park.

Dia dan Ancelotti bekerjasama di Napoli selama dua musim sebelum pengurus Itali berkenaan dipecat dan mungkin menjadi faktor utama mengapa Allan memilih kelab England tersebut walaupun cuba dipancing oleh beberapa pasukan lain seperti Atletico Madrid dan Borussia Dortmund.

“Ia satu penghormatan dapat menyertai Everton. Sejujurnya saya gembira berada di sini,” ujar Allan kepada Everton TV.

Allan memulakan kariernya bersama kelab negara kelahirannya, Vasco da Gama sebelum berhijrah ke kelab Serie A, Udinese pasa 2012.

Dia kemudian memyertai Napoli  pada 2015 dan beraksi sebanyak 200 perlawanan serta membantu kelab tersebut memenangi Copa Italia pada musim lepas.

Allan juga merupakan skuad Brazil yang menjuarai Copa America pada 2019 di samping rakan sepasukan baharunya, Richarlison. – MalaysiaGazette