Penduduk, mengangkat bekas air tadahan yang disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berikutan masalah gangguan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 7, Kota Damansara. foto ISKANDAR HAMIDI, 5 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Setakat hari ini, hampir semua kawasan yang terputus bekalan air di Lembah Klang telah kembali menerima bekalan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya,  maklumat itu diterimanya hasil pertemuannya dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor petang tadi.

“Alhamdulillah. Setakat ini pemulihan akaun pengguna sudah mencapai 93 peratus. Saya telah bertemu dengan barisan hadapan JAS, SPAN, LUAS dan Air Selangor petang tadi.

“Mereka terlibat di peringkat pemantauan, rawatan dan pembekalan air” katanya di Twitter malam ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kepada pihak yang berwajib yang memastikan bekalan air kembali disalurkan kepada seluruh pengguna.

“Saya mewakili KASA mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kerana mereka telah bertungkus-lumus selama 24 jam bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna lebih awal daripada jangkaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, empat pengurus kilang berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran berkenaan direman enam hari bermula Sabtu lalu.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang berkenaan pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – MalaysiaGazette