Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar diiringi Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Mohd Bakke Salleh meluangkan masa berkunjung ke ruangan galeri origami pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Institusi-institusi Kewangan dan Pelancaran Program Pembiayaan Khas Vendor Tempatan (PERINTIS) Telekom Malaysia (TM) di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – TEKUN Nasional menjadi pemudah cara untuk permohonan para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila masalah birokrasi telah dikurangkan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif yang diambil selepas pengumuman pakej PRIHATIN itu telah mengurangkan dokumen yang diperlukan untuk permohonan pinjaman.

Jelas beliau, ia melibatkan pengurangan daripada 17 kepada empat dokumen sahaja yang perlu disediakan pemohon.

“Apabila kerajaan umum Pakej Prihan kedua, kita telah buat perancangan sendiri dan antara tindakannya apabila kurang soalan yang menimbulkan masalah birokrasi sebelum ini.

“Kita juga dapat kurang kerenah contohnya dahulu nak minta pinjaman TEKUN, perlu 17 dokumen namun telah dibuat dan kurangkan asas permulaan kelulusan kepada empat daripada 17 dokumen.

“Tempoh waktu kelulusan pemohon juga dikurangkan kepada tujuh hari dan yang sudah ada rekod, hanya tunggu lima hari sahaja.

“Bukan 13 dokumen itu tidak penting tapi boleh diminta selepas kelulusan dengan kurangkan pinjaman dan selepas itu kita akan minta dokumen ditambah semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidanh media selepas majlis Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Telekom Malaysia (TM) dan 14 institusi kewangan terpilih untuk melaksanakan Program Pembiayaan Vendor TM yang dikenali sebagai PERINTIS.

Turut hadir Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, program PERINTIS itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan vendor-vendor dapat terus beroperasi dan kekal mampan dalam perniagaan.

Dengan ini jelas beliau, syarikat-syarikat vendor berupaya untuk terus menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja sedia ada dan membuka peluang pekerjaan baharu.

“PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara. Sektor ini menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini dan hampir 40 peratus kepada ekonomi.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita memastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini.

“Pihak kerajaan menyambut baik inisiatif ini dalam usaha kita memperkasa para vendor,” katanya.

Sementara itu, Program PERINTIS memberikan lebih kemudahan kepada para vendor TM menerusi pelbagai kemudahan kewangan dan perundingan kewangan.

Di bawah program ini, vendor-vendor TM akan menikmati pakej-pakej pembiayaan yang komprehensif merangkumi kesemua peringkat dan saiz perniagaan termasuk mereka yang mempunyai sub-kontraktor dengan nilai pembiayaan sehingga RM10 juta bergantung kepada jumlah kontrak yang diperolehi daripada TM.

Tawaran berkenaan bermula daripada peringkat persediaan peralatan dan keperluan untuk memperolehi kontrak daripada TM.

Proses pengeluaran (disbursement) akan turut dipercepatkan bagi memastikan para vendor berkenaan berdaya maju dan mampu untuk menjalankan perniagaan.

Selain itu, program ini menawarkan kelulusan pinjaman yang pantas, direalisasikan menerusi kerjasama antara institusi- institusi kewangan dan penjamin kredit yang bertindak sebagai penjamin berdasarkan Kriteria Penerimaan Risiko dan Kriteria Kelayakan yang dipersetujui dengan institusi kewangan yang terlibat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.