M.Saravanan

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia tidak akan menangguhkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan DAN Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] (Pindaan) 2019.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, ia sebagai maklum balas kepada permintaan pihak persatuan majikan di Malaysia untuk menangguh penguatkuasaan akta tersebut yang dibuat melalui Malaysia Employers’ Federation (MEF) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).

“Penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 yang bermula pada 1 September 2020 bukanlah dilakukan secara terburu-buru.

“Malahan, sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, hebahan berhubung tarikh penguatkuasaan telah dibuat secara
meluas sejak Mei 2020 lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah dipinda kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.

Akta itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2019 seta diwartakan pada 23 September 2019.

Sebelum ini, Akta 446 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia itu dan menetapkan penguatkuasaan mulai dari 1 Jun 2020.

Selain itu, kerajaan telah bersetuju untuk memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan sehingga 31 Ogos dan penguatkuasaan sepenuhnya pada 1 September lalu.

“Para majikan telah diberikan tempoh bersedia selama tiga bulan iaitu dari bulan Jun sehingga bulan Ogos 2020. Pihak kementerian tidak akan menangguhkan lagi penguatkuasaan akta ini,” katanya.

Namun begitu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan terus melakukan pemeriksaan ke atas syarikat-syarikat yang telah membuat permohonan perakuan dalam talian melalui Sistem Permohonan Perakuan Penginapan yang boleh dilayari di laman sesawang http://akta446.mohr.gov.my.

Saravanan juga menggesa pihak persatuan agar sama-sama memastikan bahawa syarikat-syarikat di bawah persatuan mereka untuk membuat permohonan perakuan ini dan sentiasa berhubung dengan para pegawainya di Ibu Pejabat mahupun JTK Negeri bagi sebarang makluman sepanjang proses permohonan perakuan tersebut.

“Para pegawai JTKSM Ibu Pejabat dan Negeri telah disiapsiagakan dalam memberikan khidmat panduan dan khidmat nasihat berhubung proses permohonan perakuan ini.

“Selain itu, soalan-soalan lazim turut boleh dimuat turun oleh para majikan dalam laman sesawang Jabatan iaitu jtksm.mohr.gov.my,” katanya lagi. – MalaysiaGazette