Sewaktu majlis berkenaan, menerima anugerah tersebut UTeM telah diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif (tengah).

MELAKA – Tawaran bidang pengajian yang memenuhi keperluan industri oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semakin menyerlah apabila berjaya merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award) baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah mencipta sejarah apabila tiga bidang pengajian telah menjadi pilihan majikan tertinggi.

Tiga bidang pengajian itu adalah Mekatronik dari Fakulti Teknologi & Kejuruteraan Elektrik (FTKE), Automotif dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Teknologi Permainan dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

“Kejayaan ini turut memberi gambaran jelas bahawa formula dan strategi berangkai UTeM dapat membuahkan hasil yang memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan.

Pencapaian UTeM itu turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (SDG 8) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penerimaan anugerah tersebut telah diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

“Pencapaian ini telah menyumbang kepada peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan yang menunjukkan anjakan semakin positif saban tahun.

“UTeM menerusi U-ACE akan terus komited menjayakan pelbagai program sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan kami dan pada tahun 2022 lalu UTeM telah mencapai kebolehpasaran sebanyak 96.4 peratus,” ujarnya.

Anugerah diterima UTeM dinilai berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh pihak Talentbank kepada lebih daripada 100 industri menerusi kaji selidik terhadap bidang-bidang pengajian bagi 20 universiti awam dan 23 universiti swasta. – MalaysiaGazette