Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 62 kes positif baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari ini yang mana 50 kes dikesan di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster di Lahad Datu itu telah dikenal pasti pada 1 September lalu yang mana ia bermula dari dua orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos lalu.

“Mereka disaring dan didapati positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu. Kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, dalam tempoh tujuh hari, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif Covid-19 dikesan dengan kadar positiviti sebanyak 4.7 peratus.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, daripada 62 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 56 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 30 warganegara Malaysia dan 26 bukan warganegara.

Bagi kes import pula, enam kes melibatkan dua warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara. – MalaysiaGazette