Orang ramai beratur untuk menadah air yang disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berikutan masalah gangguan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 7, Kota Damansara. foto ISKANDAR HAMIDI, 5 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 71 kawasan yang sepatutnya menerima bekalan air 12 tengah malam tadi tetapi belum pulih sepenuhnya disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air.

Oleh itu para pengguna dinasihatkan tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan, kata Pengurusan Air Selangor.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 344 kawasan masih dalam proses pemulihan air.

Pengurusan Air Selangor berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, sebanyak 948 kawasan telah mendapat bekalan air sepenuhnya.

Secara keseluruhan, 73.37% daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

Gangguan itu berlaku sejak Khamis lalu ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang ekoran pencemaran air di Sungai Gong. – MalaysiaGazette