Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan berhubung isu skandal tanah di Perak.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, aduan itu diterima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Ipoh hari ini.

Ia susulan selepas tersebarnya surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pihak untuk tidak mengulas lanjut serta memberikan ruang bagi SPRM menjalamkan siasatan secara telus dan profesional.

Terdahulu, Putra Ipoh membuat laporan kepada SPRM susulan surat tular di media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Laporan dibuat oleh Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman selepas pendedahan itu yang dilihat membimbangkan apabila pemberian secara sah melibatkan lebih 1,200 hektar tanah di seluruh negeri.

Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila tanah turut diberikan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – MalaysiaGazette