Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Walaupun terdapat peningkatan kes sebanyak 62 kes positif Covid-19 di Sabah hari ini namun keadaan di kawasan itu masih terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, kes penularan pandemik itu hanya berlaku di Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau sahaja setakat ini.

“Kalau kita lihat kepada Kluster Benteng iaitu operasi yang telah dijalankan bersama ATM, PDRM dan agensi lain. Matlamat utama adalah untuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

“Dua kes indeks adalah daripada pendatang tanpa izin. Jadi kita telah pastikan untuk menangkap mereka dalam IPD Polis di Lahad Datu dan juga di penjara Tawau.

“Bila kita saring mereka kita dapati pendatang tanpa izin itu ada yang positif jadi ini tindakan kita dan setakat ini di lokap polis di Tawau dan Penjara Tawau kes ini terkawal dan bukan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Noor Hisham, penularan seperti itu pernah berlaku pada Jun lalu apabila 227 kes positif Covid-19 direkodkan di Depoh Tahanan Semenyih yang membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Justeru itu, katanya, amat penting untuk memastikan tiada lagi PATI ini memasuki negara menggunakan ‘jalan-jalan tikus’ bagi membendung penularan Covid-19.

“Kita juga ada kes dahulu 227 kes di Depoh Tahanan Bukit Jalil jadi ia terkawal masa itu dan bukan dalam masyarakat. Jadi yang penting kita perlu mempertingkatkan aktiviti pengesanan pendatang asing tanpa izin.

“Kalau kita boleh bendung mereka masuk ikut jalan-jalan tikus inilah satu kesan yang kita boleh kurangkan jangkitan pada masyarakat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, daripada 22 kes yang direkodkan hari ini dalam Kluster Sungai, sebanyak 16 kes melibatkan kakitangan KKM.

Daripada jumlah itu, seorang daripada kakitangan itu telah menjangkiti ahli keluarga mereka.

“Kita dapat mengenalpasti 16 kakitangan KKM yang positif dan seorang anggota kesihatan telah menjangkiti tujuh ahli keluarganya.

“Inilah yang kita ada 23 kes (satu kes di Perlis) untuk Kluster Sungai,” katanya lagi.

Kluster Sungai telah melibatkan 26 kes positif dengan 25 kes positif keseluruhan di Kedah, dan satu kes positif di Perlis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast