KUALA LUMPUR – Pembulian terhadap penuntut Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin oleh dua timbalan menteri menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional langsung tidak mengendahkan realiti sebenar masalah yang dihadapi mahasiswa luar bandar berhubung jaringan Internet.
Pemuda Harapan Terengganu berkata, lebih mendukacitakan apabila Kementerian Pengajian Tinggi seolah-oleh membisu untuk membela nasib mahasiswa terbabit.
Suara lantang daripada Menteri dan Timbalan Menteri Wanita juga langsung tiada kedengaran.
Menteri Belia dan Sukan juga menyepi, kata Hasbie Muda, Ketua Pemuda Harapan Terengganu; Nazhan Zulkifli, Ketua Angkatan Muda Keadilan Terengganu dan Zamir Ghazali, Ketua Pemuda Amanah Terengganu dalam kenyataan bersama.
”Dua timbalan menteri dari Perikatan Nasional ini menuduh saudari Veveonah menipu dan sekadar mencari publisiti murahan apabila memuatnaik video menjawab peperiksaan di atas pokok.
”Walaupun Datuk Zahidi Zainul Abidin telah mengakui kesalahan dan memohon maaf apabila rakan sekuliah Veveonah mendedahkan bahawa beliau tidak berbohong, namun pembulian terhadap Veveonah tidak berakhir apabila Datuk Abdul Rahim Bakri kekal menuduh Veveonah sebagai menipu,” kata mereka.
Justeru, Pemuda Harapan Terengganu menuntut kedua-dua timbalan menteri memohon maaf kepada Veveonah dan mahasiswa umumnya dan berusaha untuk mencari penyelesaian kepada isu akses Internet terutama di luar bandar, apatah lagi ia sangat penting kini kerana universiti mengamalkan pembelajaran atas talian disebabkan masalah Covid-19. – MalaysiaGazette
















