Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sebutan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memohon Mahkamah Sesyen di sini memindahkan kes salah guna kuasanya dari Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang ke Mahkmah Kuala Lumpur untuk dibicarakan serentak.

Permohonan itu dibuat peguamnya, Gobind Singh Deo di hadapan Hakim Azura Alwi ketika sebutan semula kes pertuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta di sini, awal pagi tadi.

Hakim Azura bagaimanapun menetapkan 12 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu berkaitan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion itu.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharudin Wan Ladin ketika prosiding tidak meminta jaminan baharu, sebaliknya ia menggunakan pakai jaminan sebelum ini yang berjumlah RM1 juta.

Malah Wan Shaharudin juga memberitahu mahkamah bahwa wang jaminan bagi kes di Mahkamah Butterworth Pulau Pinang juga menggunakan wang jaminan yang sama.

Dalam pada itu, Wan Shaharudin turut memaklumkan mahkamah bahawa terdapat dua laporan polis diterimanya berhubung komen subjudis berkaitan kes  itu melibatkan pihak ketiga.

Bagaimanapun Wan Shaharudin memaklumkan bahawa pihak pembelaan dan Guan Eng sendiri setakat ini tidak membuat sebarang komen subjudis.

“Kita berharap komen tidak subjudis itu berterusan sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan mengenai kes itu kelak,” katanya ketika prosiding kes itu, hari ini.

Sementara itu, Gobind turut melahirkan rasa kesal kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan maklumat kepada pihak media berhubung prosiding kes anak guamnya lebih awal.

“Saya minta mahkamah nasihatkan SPRM agar tidak mengeluarkan kenyataan secara tidak rasmi kepada media,” katanya.

Selain itu, Jumaat ini merupakan sebutan semula kes Guan Eng di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang berhubung kes menerima suapan berjumlah RM3.3 juta. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Teringat dulu Latipah Koya adakan press conference utk perdengarkan perbualan telefon Najib dan Rosmah. Bila terkena batang hidung sendiri pandai pula minta SPRM jfn keluarkan kenyataan.

Comments are closed.