Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Susulan banyak kes penipuan mencecah jutaan ringgit melibatkan mangsa dalam kalangan penjawat awam dan pesara kerajaan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meningkatkan latihan hal-hal berkaitan modus operandi sindiket penipuan dan pelaburan palsu.

Presidennya Adnan Mat berkata, kes-kes penipuan seperti scam Macau, panggilan palsu, pinjaman perumahan atau pelaburan tidak wujud telah lama dijalankan oleh sindiket yang menyasarkan penjawat awam serta pesara.

Ini kerana, penjawat awam mempunyai sedikit kelebihdan dalam kemudahan untuk membuat pinjaman melalui institusi kewangan, sewaktu bersara pula penjawat awam ini akan diberikan imbuhan atas perkhidmatan mereka.

Disebabkan faktor itulah golongan penjawat awam dan pesara kerajaan sering menjadi mangsa sasaran sindiket penipuan walaupun gaji mereka tidaklah begitu besar.

Kesan kepada penipuan sindiket ini bukan sahaja boleh meruntuhkan institusi sosial masayrakat bahkan menjadikan kualiti kerja menurun akibat masalah kewangan.

Oleh itu, Adnan berkata, pemberian latihan atau kursus berkaitan sindiket penipuan dapat mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku pada masa akan datang.

Penekanan terhadap latihan dan kursus mengenai sindiket penipuan ini boleh dilakukan secara formal atau tidak formal, kata Presidennya Adnan Mat.

”Pendekatan secara formal boleh dilakukan dengan pembentukan modul latihan yang khusus, manakala latihan bukan formal boleh diberikan dalam bentuk pameran pendidikan, hebahan dan risalah.

”Ketua-ketua jabatan juga perlu sering mengingatkan kakitangan masing-masing mengenai modus operandi dan kegiatan sindiket penipuan ini melalui perhimpunan bulanan yang dilakukan secara berkala.

”Penekanan secara berkala dan berterusan ini boleh menjadikan semua pihak menjadi celik atau faham mengenai modus operandi, kesan dan akibat menjadi mangsa sindiket penipuan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelasnya, modul latihan tidak semestinya menjurus kepada pengurusan kewangan, pembangunan kerjaya serta peningkatan kualiti perkhidmatan sahaja.

Sebaliknya ia perlu meliputi pelbagai bidang latihan termasuklah mengenai hal-hal berkaitan modus operandi sindiket penipuan dan pelaburan palsu.

Sehubungan itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam dan pesara lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan pengurusan kewangan termasuklah membuat pinjaman dan pelaburan.

Jadikan pihak berkuasa sebagai badan rujukan utama sebelum melakukan apa-apa jua keputusan membabitkan pengeluaran jumlah wang yang besar.

”Jangan membuat keputusan terburu-buru sekiranya menerima panggilan telefon yang menawarkan atau meminta maklumat kewangan peribadi. Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga terdekat atau buat laporan kepada pihak berkuasa.

”Laporan dan aduan kepada pihak berkuasa dapat membantu mencegah kegiatan sindiket penipuan ini terus berleluasa. Sekiranya ingin membuat pelaburan, pilihlah agensi atau badan yang diberi tauliah daripada pihak berkuasa dan berwibawa. Jangan terlalu cepat percaya janji manis daripada pelaburan yang menawarkan keuntungan sekelip mata,” tambahnya.

Adnan berkata, pihak berkuasa juga disarankan meningkatkan lagi penguatkuasaan sebagai langkah melindungi rakyat.

Tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan bagi menggerunkan pelaku jenayah. – MalaysiaGazette