KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia kesal dengan keputusan kerajaan Selangor memberi tempoh agak panjang kepada kilang haram yang bertanggunjawab mencemarkan bekalan air sehingga menyusahkan jutaan rakyat negeri itu.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, jaminan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini, tidak wajar sama sekali.
“Ingatan dan amaran ini sudah dikeluarkan sejak 2008 lagi, dan dalam tempoh itu berulang kali pencemaran kerap berlaku menyebabkan gangguan air kepada pengguna kerana kilang kilang haram ini tumbuh bagai cendawan di sepanjang sungai.
“Rata rata rakyat Selangor kecewa dengan sikap kurang tegas kerajaan negeri yang dilihat seperti pilih kasih jika dibandingkan dengan isu penduduk tempatan yang dirobohkan kediaman mereka kerana isu status tanah di beberapa kawasan penempatan kampung Melayu di Selangor baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Amirudin dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.
Kata beliau, jika masih ada yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.
Dr. Asmah menyifatkan, kerajaan negeri tidak bertegas dalam isu kilang haram, sebaliknya sentiasa berlembut dengan memberi peluang agar tidak cuai lagi.
“Penduduk Selangor yang terjejas dengan gangguan bekalan air sehingga hampir lima hari tidak dapat menerima keputusan ini yang disifatkan tidak garang terhadap pihak kilang yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan sumber air.
“Rakyat sengsara dengan bekalan air yang kerap putus ditambah pula sesetengah kawasan di Selangor yang tidak menerima bekalan bantuan air mencukupi dari tangki air bantuan.
“Justeru, Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor agar tindakan segera diambil demi keselamatan dan kemaslahatan penduduk dari pihak tidak bertanggunjawab dalam isu pencemaran ini,” ujarnya.
Kata beliau, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya kerajaan negeri mengambil beberapa tindakan berhubung isu itu kerana baginda khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula menyifatkan pencemaran Sungai Gong yang menyebabkan jutaan rakyat Selangor mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.
“Kerajaan Selangor boleh bertindak lebih keras dengan mengeluarkan arahan serta merta pemutihan dan mula menjalankan operasi membanteras mana-mana kilang haram ini dari terus beroperasi di pinggir pinggir sungai Selangor.
“Jangan pula rakyat Selangor melihat kerajaan memilih kasih antara penduduk tempatan yang tiada apa dengan golongan pemain industri kaya raya.
“Rakyat susah sehingga membersihkan diri pun bermasalah. Kasihanilah rakyat yang mengundi kerajaan Selangor, bukannya menjaga hati pihak tertentu,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Mintak senaraikan kilang2 tu milik siapa, rakyat nak tahu jugak