Foto hiasan

GEORGE TOWN – Seorang penjual aiskrim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengabaikan tiga ekor kucingnya sehingga menyebabkan kematian haiwan itu, tahun lepas.

Saiful Azhar Md Rahani, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah secara tidak munasabah menyebabkan tiga ekor kucingnya berada dalam penderitaan yang tidak sepatutnya, hingga ketiga-tiga ekor haiwan itu mati.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah tidak bernombor di Teluk Bayu, Sungai Batu di Teluk Kumbar, di sini, pada jam 4.45 petang, 26 Feb 2019 mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Roziman Awang Tahrin.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Okt depan untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

— BERNAMA