Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran akan dilaksanakan di daerah Kota Setar mulai 12.01 pagi esok sehingga 25 September ini.

Keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri PKP susulan peningkatan kes Kluster Sungai dan Kluster Tawar.

Ia membabitkan 366,787 orang penduduk di 28 mukim tersebut.

Susulan pelaksanaan PKPD di kawasan itu, semua keluar, masuk adalah dilarang sama sekali.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengawal sepenuhnya kawasan berkenaan sepanjang tempoh PKPD

“Kemasukan melalui Pintu Masuk Antarabangsa tidak dibenarkan. Semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan pra-universiti juga diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD secara Pentadbiran.

”Sesi pengajian di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta termasuk Institut Latihan Kemahiran di daerah Kota Setar turut ditangguhkan.

”Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja (essential services) dibenarkan beroperasi seperti premis yang menyediakan perkhidmatan makanan seperti kedai makan dan warung serta stesen minyak, kedai runcit dan farmasi, klinik serta hospital sahaja.

“Perkhidmatan perlu lain seperti kilang perlu memohon kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi.

”Para pekerja tidak boleh bekerja, oleh itu saya berharap majikan-majikan ambil maklum kerana ini bukan atas kehendak pekerja tetapi arahan kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Operasi pasar malam dan pasar tani juga adalah tidak dibenarkan, manakala hanya operasi pasar harian dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

Katanya, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.

Malah, kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk tetapi perlu mendapat kebenaran PDRM terlebih dahulu.

”Perkhidmatan feri di Kuala Kedah juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD Pentadbiran ini dan orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis.

”Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” ujarnya.

Perintah ini melibatkan banduan, 114 anggota dan 355 ahli keluarga Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Tawau.

Berikutan itu, pergerakan keluar masuk penjara adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD Pentadbiran termasuk pelawat dan ahli keluarga.

Selain itu, Mesyuarat Khas hari ini juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD Pentadbiran di Aman Jaya, Kedah sehingga 13 September 2020 bagi memastikan semua yang terlibat disaring oleh Kementerian Kesihatan, ujar Ismail Sabri. – MalaysiaGazette