Pesawat 737 Max. foto Agensi

COLOGNE, Jerman – Pesawat Boeing 737 MAX yang dihentikan operasinya telah selesai satu pusingan ujian dengan pihak berkuasa keselamatan udara Eropah.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) akan menilai semula data daripada ujian tersebut, katanya.

Agensi yang berpusat di Cologne, Jerman, melakukan penerbangan dari Vancouver, Kanada, berhampiran kawasan operasi Boeing di Seattle.

“Sebagai langkah seterusnya dalam penilaian pesawat untuk kembali beroperasi, EASA kini menganalisis data dan maklumat lain yang dikumpulkan semasa penerbangan itu,” kata agensi terbabit.

Ujian penerbangan Eropah mengikuti penilaian serupa yang dilakukan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) dan Transport Canada.

Larangan penerbangan akibat pandemik telah menyebabkan pensijilan semula pesawat berkenaan tertangguh.

Operasi Boeing 737 MAX telah ditarik semula sejak Mac tahun lalu selepas berlaku dua nahas yang mengorbankan 346 orang.

Kedua-dua kemalangan itu dikaitkan dengan ciri-ciri keselamatan yang tidak berfungsi dan berulang kali memberi arahan supaya pesawat menjunam.

Penilaian mengenai bagaimana juruterbang bertindak balas terhadap pesawat yang diperbaharui akan digunakan untuk menetapkan standard latihan baharu, yang akan dilakukan minggu depan di Lapangan Terbang Gatwick di London.

Badan Penilaian Operasi Bersama adalah kumpulan yang menjalankan proses itu, diawasi oleh pengawal selia dari Kanada, Eropah, Brazil dan AS.

Sokongan EASA dilihat sebagai kunci untuk mendapatkan sokongan global terhadap pesawat tersebut, setelah dua nahas yang berlaku menjejaskan reputasi FAA sebagai peneraju keselamatan udara.

Bagi Boeing, mengembalikan aliran tunai melalui penjualan 737 MAX – pesawatnya yang paling popular ini adalah penting setelah mendedahkan masalah pengeluaran yang menyebabkan penjualan utama pesawat 787 Dreamliner perlahan.

Boeing telah membangunkan kira-kira 450 pesawat MAX semasa operasinya dihentikan dan mensasarkan penghantaran lebih dari separuh dilakukan pada 12 bulan pertama setelah memperoleh pensijilan semula. – MalaysiaGazette