Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu sistem yang menggantikan Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana disifatkan lebih holistik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sistem PBS juga lebih sesuai dengan keperluan pembangunan murid pada masa ini dan akan datang.

Menurut beliau, masyarakat perlu memahami sistem pendidikan bersifat dinamik dan ia berevolusi seiring keperluan semasa dan akan datang.

“Jika sebelum ini peperiksaan menjadi satu-satunya mekanisme untuk menilai pencapaian murid, pada waktu ini keperluan telah berubah kepada penilaian yang lebih holistik merangkumi pendekatan pentaksiran formatif dan sumatif,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Fadhlina, dalam era di mana kemajuan teknologi dan automasi mencorak kehidupan seharian, industri dan dunia pekerjaan, negara berhadapan cabaran yang lebih kompleks berbanding dahulu.

Jelas beliau, pendekatan baharu dan transformasi pendidikan diperlukan untuk menyediakan murid bagi menangani isu-isu berbangkit di peringkat lokal dan global seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan, kemiskinan dan konflik.

“Dalam konteks ini, pendidikan memerlukan anjakan paradigma yang menyeluruh,” katanya.

Tambah Fadhlina, walaupun penilaian murid secara berterusan dilaksanakan menerusi PBS, ia tidak bermakna pengukuran kognitif dalam peperiksaan dimansuhkan.

Sebaliknya, jelas beliau, PBS turut merangkumi komponen Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang bertujuan mengukur keupayaan kognitif murid tahap dua di sekolah rendah iaitu Tahun 4, 5 dan 6 dan pada peringkat menengah rendah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3.

Katanya, pelaksanaan PBS juga membolehkan penilaian pembangunan murid yang lebih menyeluruh dan bersepadu selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“Ia memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek intelek, tetapi juga kokurikulum, emosi, rohani dan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina tidak menafikan masih terdapat ruang penambahbaikan untuk memperkasakan PBS bagi memastikan pelaksanaan yang komprehensif demi manfaat semua murid.

Sehubungan itu, katanya, KPM pada Mac lalu mengumumkan inisiatif Reformasi Pendidikan yang mana salah satu hala tuju yang diberi tumpuan adalah berkait dengan intervensi kurikulum yang turut merangkumi PBS.

“KPM turut mengambil perhatian pandangan lain berkenaan PBS seperti keabsahan dan ketelusan proses penilaian yang dilaksanakan.

“Justeru, tumpuan pada ketika ini adalah untuk memastikan penilaian yang adil untuk semua murid, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan seluruh masyarakat terhadap pelaksanaan PBS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast