Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Malaysia akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber di Denmark pada Oktober ini bergantung kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun beberapa negara termasuk Indonesia telah menarik diri, keputusan Malaysia hanya akan ditentukan oleh BAM.

Menurutnya, BAM perli diberi masa bagi memantau dan menilai situasi semasa dan membuat keputusan yang tepat berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya difahamkan BAM sedang menilai dan memantau perkembangan semasa.

“Apa-apa jua keputusan yang mungkin akan diambil oleh pihak BWF walaupun setakat ini belum ada apa apa lagi.

“Jadi, kita berilah sedikit masa kepada BAM untuk menilai dan membuat keputusan yang mutakhir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Reezal Merican yakin BAM akan bertindak sewajarnya berdasarkan pemantauan dan penilaian disamping situasi semasa Covid-19 sebelum membuat keputusan.

Pada hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Achmad Budiharto berkata, keputusan manarik diri daripada kejohanan itu dibuat berikutan tiga alasan utama termasuk kekhuatiran pemain dengan risiko jangkitan COVID-19 ketika perjalanan, tempat transit atau venue kejohanan.

Selain Indonesia, empat negara lain yang turut menarik diri adalah Australia, Taiwan, Thailand dan Korea Selatan mengumumkan akan tarik diri daripada kejohanan berpasukan itu kerana kebimbangan COVID-19 .-MalaysiaGazette

Indonesia turut tarik diri daripada Piala Thomas/Uber 2020